Aktiviti Akan Datang...

1. Perhimpunan Bulanan 1/2010 (6 Januari 2010) -telah dilaksanakan
2. Slot Pengisian Bersama KJ HEP (13 Januari 2010) -telah dilaksanakan
3. Pertandingan Bola Tampar Piala Pusingan Pengarah (12-14 Januari 2010) -telah dilaksanakan
4. Pendaftaran Pelajar Baharu KPLI Ambilan Januari 2010 (18 Januari 2010) -telah dilaksanakan
5. Majlis Perasmian MPPB KPLI Januari 2010 (18-22 Januari 2010)
6. Malam Kebudayaan MPPB KPLI Januari 2010 (20 Januari 2010) -telah dilaksanakan
7. Majlis Penutupan MPPB KPLI Januari 2010 (22 Januari 2010) -telah dilaksanakan
8. Slot Pengisian Bersama Jabatan PJK (27 Januari 2010)

Isnin, Februari 08, 2010

Happy Chinese New Year 2010 : Year Of Tiger


Istimewa buat seluruh warga IPG Kampus Rajang yang berbangsa Cina,

Selamat Menyambut Tahun Baru Cina 2010. Semoga kedatangan Tahun Harimau ini akan menguatkan lagi azam semua pihak untuk berusaha ke arah kecemerlangan dan membawa tuah, murah rezeki dan kemakmuran kepada semua..

GONG XI FA CAI!


Ikhlas daripada :
JPP IPGM Kampus Rajang
Sesi 2009/2010

Sabtu, Februari 06, 2010

100 Hari Pertama : Suara Rasa Timbalan Pengarah IPG Kampus Rajang


NAMA PENUH : TUAN HJ MAT AKHIR BIN HJ ABDULLAH
TARIKH LAHIR : 4 MAC 1955
TEMPAT LAHIR : KUALA KANGSAR, PERAK
JUMLAH ADIK BERADIK : 4 ORANG ( Merupakan anak bongsu)
TARAF PENDIDIKAN : MASTER DALAM PENGURUSAN TEKNOLOGI
UTM SKUDAI, JOHOR

Assalamualaikom warohmatullah hiwabarokatuh dan salam sejahtera.


Y.Bhg. Tuan Pengarah, Ketua Jabatan, Ketua Unit, para pensyarah, staf sokongan dan para pelajar yang dikasihi sekalian.


Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah subhanahuwataalla dengan limpah kurnia-Nya dapat saya menggerakkan jari jemari saya untuk menukilkan sesuatu untuk catatan dan renungan diri saya sendiri dan barangkali untuk tatapan sejenak warga Kampus Rajang, Bumi Kenyalang yang saya sayangi. Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.

Dengan izin Tuan Pengarah jua saya memohon kebenaran dan ampun maaf sekiranya catatan 100 hari ini tidak menepati hasrat dan sasaran visi dan misi Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang yang aman dan damai. Sesungguhnya setiap insan diberi kekuatan oleh Tuhan untuk bergerak di atas muka bumi ini untuk merencanakan dan melaksanakan sesuatu yang dapat memberi manfaat atau impak kepada dirinya sendiri dan orang lain. ”Sedikit lama-lama menjadi bukit”. Kata-kata keramat yang perlu difahami dan dihayati.


Pertama kali saya sampai di kampus ini pada 14 Julai 2008, saya berasa kagum dengan ketenangan, keharmonian dan keindahan persekitarannya. Walaupun pada ketika itu saya datang tidak lama kerana ditugaskan oleh BPG untuk memantau hari pendaftaran pelajar baru PPISMP ambilan Julai 2008. Saya sangat teruja untuk datang ke sini. Maklumlah ramai yang menguar-uarkan kehebatan kampus ini dari segi keindahan, kebersihan dan keceriaan. Sesungguhnya kekaguman ini menjadi tanda tanya dalam diri saya. Mengapakah institut ini indah, bersih dan ceria begitu rupa? Siapakah tuan rumahnya? Pasti tuan rumah institut ini mempunyai hasrat, impian dan wawasan untuk menjadikan institut ini indah, bersih dan ceria. Bagaikan gadis sunti yang disolek dengan anggunnya. Saya tertanya-tanya. Mengapa institut yang indah ini dibina di kawasan luar bandar. Bagaikan ’dara pingitan’ yang tidak pernah keluar dari terataknya. Terlalu anggun dan sopan budi bahasanya. Begitulah kiasan kata yang dapat saya simpulkan semasa kehadiran saya pada ketika itu. Alangkah indahnya jikalau institut ini dibina di Sibu (bukan di tengah bandar Sibu). Barangkali ramai yang dapat melihat, merasai keindahan, ketenangan dan kehebatan institut ini. Tetapi tiada siapa yang mengetahui apa yang tersurat dan tersirat. Tak mengapalah. Semuanya sudah menjadi suratan takdir dan sejarah masa silam.


Saya tidak menyangka bahawa kehadiran saya pada 14 Julai 2008 itu membawa pertemuan kali kedua pada 1 Oktober 2009 (melapor diri). Pertemuan untuk mengikat janji dengan tuan rumah (pengarah). Umpama pertemuan antara ”Uda dan Dara”. Barangkali untuk mengucapkan sesuatu yang manis dan lunak di sanubari masing masing. Apakah hikmah pertemuan ini?


Saya tertanya-tanya dalam diri. Mengapa saya memilih Rajang, tidak memilih Tawau atau Keningau atau Kota Kinabalu semasa ditawarkan menjadi orang nombor dua dahulu. Tiba-tiba ditawarkan ke Kampus Rajang....hati saya terus tertawan.


Kehadiran saya pada 1 Oktober 2009, memberi azam baru kepada saya untuk berkhidmat dengan penuh yakin dan bertanggungjawab. Membantu sedaya upaya dan melakukan yang terbaik demi kampus ini. Alhamdulillah pada 19 Oktober 2009 saya mula menjalankan tugas sebagai orang nombor dua. Saya rasa bersyukur ke hadrat Allah subhanahuwataala kerana mempunyai ketua (pengarah) yang mempunyai pengalaman yang sangat luas dan mahir dalam selok belok tadbir urus yang hebat. Berpandangan jauh dan mempunyai visi dan misi bagi membangun kampus ini menjadi tersohor dari pelbagai aspek termasuk pengurusan kewangan, kebersihan dan keceriaan, dan sistem fail yang mantap. Kehebatan inilah yang saya ingin cari dalam diri saya. Sentiasa ingin mencari perubahan diri dan kebitaraan diri berbeza dengan orang lain. Sesungguhnya saya mengharapkan kita semua sebagai warga kampus sentiasa mencari sesuatu idea yang dapat melestari dan membitarakan kampus ini. Justeru itu, saya amat berharap para pensyarah dan pelajar sentiasa berfikir dan memikirkan apakah agenda baru yang dapat sama-sama kita garap bagi kelestarian dan kebitaraan kampus ini? Berfikirlah. Bagi umat Islam: ”Sesungguhnya berfikir sesaat itu, amat besar pahalanya umpama mengerjakan solat sunat.” Berfikir juga satu ibadah.


Maka ”marilah” kita sama-sama berfikir, menghayati, menterjemah dan mengamalkan visi dan misi Institut Pendidikan Guru, Kampus Rajang, dan Falsafah Pendidikan Guru terlebih dahulu supaya kita tidak tersasar dari hala tuju yang sebenar. Begitu juga para pensyarah dan pelajar perlu membaca, memahami dan menghayati isi kandungan ’Standard Guru Malaysia’ dan ’Budaya IPG’. Seterusnya kita perlu mengorak langkah (menggarap strategi) dan memfokus hala tuju yang sebenar bagi ”membina kekuatan, pengiktirafan dan kecemerlangan” Kampus Rajang supaya menjadi tersohor di mata masyarakat dan negara. Bagi saya kekuatan perlu dibina melalui penyataan hasrat yang didokumenkan, fikiran yang terbuka, bercita-cita dan mempunyai keazaman yang tinggi, semangat kerjasama yang jitu dan padu (tidak berbelah bahagi) dalam kalangan warga Kampus Rajang. Itulah ramuan kekuatan bagi menggerakkan agenda bagi melestarikan kampus ini. ’Muafakat membawa berkat’. Kekuatan itu perlu disalurkan melalui pemikiran dan falsafah warga kampus untuk mencari kesepakatan ke arah membina kekuatan. Sehubungan dengan itu, satu gagasan bagi menyemai dan menyemarakkan kehebatan insan itu adalah melalui berfikir. Tanpa berfikir dan adanya pemikiran baru, sukar bagi kita mencapai apa yang dicita-citakan. Para pensyarah hari ini digalakkan meneroka pemikiran baru dan menggalakkan para pelajarnya sentiasa berfikir mencari ’idealisme’ dalam diri mereka sebagai pelajar yang berwatak dan mempunyai idealisme tersendiri.

Hasrat saya, bagi membina kekuatan, pengiktirafan dan kecemerlangan di kampus ini, beberapa kriteria perlu menjadi petunjuk utama iaitu menjadi pensyarah yang cemerlang perlu dilihat dan dinilai melalui P & P, penulisan, penerbitan, penyelidikan dan inovasi, dan konsultansi. Semua gerak kerja bagi elemen tersebut boleh dibuat secara kolaborasi atau berpasukan. Sebagai contoh, semua jabatan boleh menghasilkan buku/jurnal pendidikan bagi jabatan masing-masing secara kolektif. Barangkali buku yang dihasilkan boleh dijual dan ini merupakan janaan pendapatan jabatan berkenaan. Saya percaya dan penuh yakin, para pensyarah di kampus ini mempunyai kehebatan yang tersendiri dan jika ada penggerak dan penggemblengnya. Saya yakin! Pensyarah Boleh! Pensyarah Kampus Rajang boleh ’memimpin’ orang lain di luar sana. Buktikan bahawa penulisan pensyarah dalam pelbagai bidang sangat hebat. Sebagai contoh, para pensyarah boleh membuat penyelidikan dan inovasi dalam pelbagai disiplin ilmu. Segala dapatan penyelidikan dan inovasi boleh dibentangkan dalam konvensyen atau seminar peringkat kebangsaan atau antarabangsa. Para pensyarah juga boleh menulis buku secara kolektif mengenai bidang ilmu masing-masing mengikut jabatan yang ada di kampus ini. Jika boleh setiap jabatan menerbitkan satu buku atau jurnal bagi setiap tahun. Carilah senergi baru bagi menggegarkan dunia penulisan, penerbitan, penyelidikan dan inovasi supaya Kampus Rajang dikenali ramai.


Para pensyarah boleh mengemukakan idea ke arah bagaimana membina kekuatan, pengiktirafan dan kecemerlangan kampus ini sejajar dengan memasyarakatkan kampus dan perkongsian pintar. Kita tidak boleh bekerja secara bersendirian. ’Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat’. Di luar sana banyak yang pensyarah boleh teroka. Binalah jaringan keintelektualan dan minda. Binalah jaringan sosial. Binalah jaringan kesarjanaan. Marilah kita bina kekuatan melalui bidang kita dengan P & P yang cemerlang, penulisan dan penerbitan yang hebat. Marilah kita bina budaya penyelidikan dan inovasi yang terbilang. Inovasi yang boleh diguna pakai oleh orang lain. Siapa tahu, sebutir mutiara Rajang wujud di sini. Marilah kita bina kekuatan diri kita sebagai pensyarah pakar, dan menjadi rujukan pelbagai pihak. Ayuh! Marilah!


’Marilah’ kita sama-sama berfikir dan menghayati peranan dan tanggungjawab di muka bumi ini sebagai insan berjiwa besar yang bergelar ”PENSYARAH”, dan kita bangga menjadi guru. Sebagai pensyarah, marilah kita menjadi pensyarah yang hebat dengan keilmuan, pensyarah yang ada ikhsan, pensyarah yang ada sinergi, dan pensyarah yang seronok dengan kerjaya. Jadikanlah ’keseronokan bekerja’ sebagai penggalak atau pemangkin diri untuk ’keseronokan mencipta’ sesuatu yang belum orang lain lakukan demi kerjaya kita, walaupun sumbangan itu dianggap kecil pada pandangan orang lain. Memanglah sukar untuk kita ’transform’ diri kita untuk menjadi hebat kerana ’transformasi’ itu merupakan satu proses yang adakalanya lambat berlaku dalam diri kita. Apa yang penting kita perlu berubah.


Kita sebagai pensyarah perlu menjadi ’starter’ dalam kelompok pensyarah. Bukan menjadi ’non-starter’ atau ’killer statement’. ’Starter’ bermakna yang menjadi penggerak atau menghidupkan. ’Non-starter’ bermakna bukan penggerak. ’Killer statement’ bermakna sentiasa menyanggah dan membangkang pendapat atau usaha yang dilakukan oleh orang lain. Harapan saya, buang sikap ’non-starter’ dan ’killer statement’ itu jauh-jauh dari benak hati kita. Maka, dalam kalangan para pensyarah perlu ramai yang menjadi golongan ’starter’ supaya kampus ini sentiasa bergerak dan digerakkan untuk mencapai matlamat yang hendak dicapai.


’Marilah’ kita menjadi ’role model’ kepada anak-anak didik kita sama ada dari segi pemikiran, penampilan diri, falsafah atau idealisme diri kita sebagai pensyarah sejati. Janganlah segan-segan membawa buku-buku rujukan yang dibeli atau dipinjam dari pusat sumber ke bilik kuliah supaya pelajar tahu para pensyarahnya rajin membaca. Apakah sumbangan kita untuk melahirkan pelajar menjadi generasi cemerlang berminda kelas pertama, apabila mereka keluar dari kampus ini sebagai guru permulaan? Saya amat berharap para pelajar mempunyai keperibadian tinggi dan kompeten dengan profesion, lahir daripada asuhan dan didikan para pensyarah kampus yang lestari ini. Biarpun kampus ini kecil tapi jiwa warganya sentiasa besar. Itu harapan saya. Begitu juga, berilah harapan baru kepada para pelajar kita. Semoga sekolah yang menerima mereka kelak, nampak impaknya dan terjahan pemikirannya berbekas, kesan daripada ’MEMBINA KEKUATAN, PENGIKTIRAFAN DAN KECEMERLANGAN’ kampus yang tercinta.


Anak-anak Rajang tercinta. Saya melihat anak-anak mempunyai potensi menjadi guru yang cemerlang pada suatu masa nanti. Anak-anak yang terpilih menjadi guru, sekiranya dari semalam, hari ini dan esok sentiasa mengorak langkah untuk menjadi cemerlang. Maka cemerlanglah anda. Percayalah dengan keyakinan diri. Jangan jemu menjadi cemerlang. Anda tidak akan mati di atas timbunan buku dan ’kerja kursus’ yang menunggu. Budayakan diri anda sebagai pelajar yang berdisiplin, menepati waktu dan ’komited’ sebagaimana ’Pernyataan Hasrat’ yang anak-anak tulis semasa menghadiri temu duga dahulu. Ingat! Jangan bohong dan mengkianati diri anda untuk menjadi guru. Rahsia cemerlang berguru ialah mendampingi ’Tok Guru’ bukan membenci dan menjauhi ’Tok Guru’. Sebagai pelajar perlu memahami dan menghayati visi dan misi IPG Kampus Rajang supaya mudah mengikut arah tuju yang hendak dibawa oleh nahkoda guru (pengarah). Jadilah pelajar yang mempunyai idealisme tersendiri yang mendokong cita-cita bangsa dan negara. Di kampus inilah anda merencana untuk menjadi akitek pendidikan negara pada suatu hari nanti. Siapa tahu sebutir mutiara akan lahir dari Kampus Rajang. Berjinak-jinaklah dengan buku. Berjinak-jinaklah dengan pemimpin. Antara buku dan pemimpin itu amat signifikan kerana anda akan menjadi pendidik dan pemimpin yang berwibawa. Mana tahu, satu hari nanti akan lahir ramai tokoh, pemimpin terkemuka dan profesional Kampus Rajang yang akan menjadi inspirasi para pelajar di sini. Renung-Renungkanlah! Fikir-Fikirkanlah!


Para pelajar Kampus Rajang yang disayangi. Jadilah pelajar yang berani bersuara dengan pemikiran dan idealisme baru bagi ’MEMBINA KEKUATAN, PENGIKTIRAFAN DAN KECEMERLANGAN’ kampus yang tercinta ini. Anda perlu membina pemikiran baru dengan sentiasa mencari idea baru bagi menyokong visi dan misi kampus ini. Manfaatkan ruang dan peluang yang ada, selama anda berada di kampus ini. Berilah sumbangan sama ada dari segi spiritual, fizikal dan material. Matangkan usia minda anda melepasi tiga kali ganda kematangan usia fizikal anda. Sesungguhnya kecemerlangan kampus ini bukan terletak pada pihak pentadbir atau para pensyarah saja tetapi anda juga. Jadilah insan guru modal kelas pertama iaitu kumpulan pemikir (creative class), pemimpin berwawasan, intelektual dan komited, berkeyakinan, berani mengambil risiko, ‘rasa bangga, ghairah mencipta, dan rasa sepunya’. Para pelajar mesti mempunyai personaliti unggul (the towering personality) iaitu berkemahiran berfikir peringkat tinggi, berbakat, berkebolehan dan berdaya cipta, mempunyai mobiliti, daya suai dan daya tahan yang tinggi, berkemampuan menggunakan teknologi secara optimum, berupaya menggabungkan inovasi dan daya cipta secara berkesan, berupaya mencipta, menyesuai dan menyebar pengetahuan baru, berkebolehan menjana ilmu pengetahuan, berkelayakan akademik, profesional dan teknikal yang tinggi, mempunyai kepelbagaian kemahiran, mengamal nilai dan etika kerja positif.


Satu perkara lagi perlu kita fikirkankan ialah mencari semula semua khazanah berharga milik warga Kampus Rajang pada masa silam yang perlu dipamerkan semula semasa kampus ini menyambut Jubli Emas (Menyambut Ulang Tahun Ke-50 tahun). Sesungguhnya Jawatankuasa Citra Lestari Kampus Rajang perlu mengorak langkah ke hadapan dari sekarang bagi mencari, mengumpul, merekod dan mendokumentasikan khazanah tersebut sebagai tatapan masyarakat pada masa akan datang. Sebuah buku sejarah Kampus Rajang perlu ditulis sebagai satu catatan sejarah dari tahun penubuhannya pada tahun 1966 hingga 2016. Inilah Balasungkawa Kampus Rajang. Barangkali balasungkawa ini kita namakan ’Citra Lestari Kampus Rajang’ sebagai cenderamata kenang-kenangan 50 tahun usia kampus ini. Fikirkanlah.


Akhir sekali saya mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada Tuan Pengarah yang saya kagumi, Ketua Jabatan dan Ketua Unit yang dedikasi, para pensyarah, staf sokongan dan para pelajar yang sentiasa menjadi inspirasi saya di sini. Sepuluh jari memohon maaf sekiranya dalam coretan 100 Hari Pertama : Suara Rasa, terdapat ungkapan kata yang menyinggung perasaan mana-mana pihak. Tujuan saya menulis ini adalah untuk renungan atau muhasabah diri saya sendiri dan warga kampus yang saya hormati. Untaian pantun jua saya titipkan buat kenangan semua.

Pohon jati tinggi menjulang,
Tumbuh subur dahannya rendang,

Kampus indah warga cemerlang;

Namamu tersohor Kampus Rajang.


Bunga anggerik bunga hiasan,

Cantik terhias di hujung taman,

Citra lestari satu gagasan,

Membina kekuatan sepanjang zaman.


Yang baik itu semuanya daripada Allah dan yang buruk itu adalah atas kelemahan saya sendiri.

Wabillahhitaufik Walhidayah Wassalamualaikom Warroh Matullahhiwabarokatuh.

Sekian. Terima kasih.

Jumaat, Januari 22, 2010

Selamat Datang KPLI Januari 2010


Kami seluruh warga IPG Kampus Rajang mengalu-alukan kedatangan pelajar baharu KPLI Ambilan Januari 2010 yang terdiri daripada KPLI Matematik dan KPLI Bimbingan. Syabas dan tahniah kepada semua pelajar baharu KPLI Ambilan Januari 2010 kerana telah berjaya melalui dengan jayanya minggu pengurusan pelajar baharu dari 18-22 Januari 2010. Selamat datang ke IPG hijau kami dan selamat menempuhi arena keguruan.. 'Guru Pembina Negara Bangsa'.

Selamat Berpraktikum...


Kami seluruh warga IPG Kampus Rajang ingin mengucapkan Selamat Menjalani Praktikum kepada semua guru pelatih KPLI Ambilan Khas Jun 2009 yang akan menjalani praktikum pada 18 Januari - 16 April 2010, kepada Kumpulan PISMP BM Semester 7 yang akan menjalani praktikum pada 1 Februari - 23 April 2010, dan juga kepada Kumpulan PISMP Ambilan Januari 2008 Semester 5 yang akan berpraktikum pada 22 Mac - 16 April 2010. Semoga berjaya dalam menjalani praktikum anda!

Selasa, Januari 12, 2010

Selamat Kembali Ke Kampus dan Selamat Berkuliah


Salam Sejahtera dan salam 1Malaysia,

Kami, ahli Jawatankuasa Perwakilan Pelajar IPG Kampus Rajang ingin mengucapkan Selamat Kembali Berkuliah kepada semua rakan guru pelatih KPLI, PISMP dan PPISMP. Semoga semester baharu pada kali ini akan menjadikan kita seorang guru pelatih yang tekun berusaha untuk mencapai kecemerlangan diri.

Tahniah juga kepada rakan guru pelatih yang telah mendapat keputusan yang cemerlang. Ayuh kita kuatkan semangat dan gandakan usaha untuk semester dan tahun baharu ini. Selamat Tahun Baru 2010.

Isnin, November 16, 2009

Selamat Bercuti & Selamat Maju Jaya Buat KPLI Jan. 09/PISMK-OUM




Salam Perpaduan dan Salam 1Malaysia,

Setelah kita semua bertungkus lumus bertempur di medan peperiksaan, cuti semester menjelang lagi. Buat seluruh rakan guru pelatih seluruh negara, khasnya buat rakan guru pelatih IPGM Kampus Rajang, selamat pulang ke kampung halaman masing-masing, jaga keselamatan diri sepanjang cuti ini. Untuk abang-abang dan kakak-kakak KPLI Ambilan Januari 2009 dan PISMK-OUM yang akan menamatkan pengajian, selamat berkhidmat untuk negara, segulung tahniah diucapkan daripada kami, seluruh warga IPGM Kampus Rajang. Semoga kalian semua menjadi guru bitara, bestari dan terbaik dalam memajukan anak bangsa. Jangan dilupakan IPGM Kampus Rajang ini, doa-doakan kebahagian kami di sini.

Melalui kesempatan ini juga, JPP Sesi 2009/2010 ingin menyusun 10 jari memohon ampun dan maaf daripada semua pihak yang berinteraksi dengan JPP, bermula daripada para pelajar, pensyarah, staf sokongan sehinggalah kepada pihak pengurusan tertinggi sekiranya sepanjang interaksi tersebut ada kelemahan yang terbit daripada kami. Segala yang baik kita sama-sama jadikannya sebagai panduan meneruskan kehidupan buat masa yang mendatang. Akhir kata, kami daripada JPP Sesi 2009/2010 mengucapkan selamat bercuti dan semoga berjumpa lagi di tahun 2010 bersama semangat dan azam yang baru. Selamat maju jaya.

Selasa, November 03, 2009

'Talent Time Nite'

Tarikh : 23 Oktober 2009
Masa : 8.00 malam
Tempat : Dewan Sri Rajang

Bakat Terpendam... Juara kategori nyanyian solo yang disandang oleh Sdri. Marwyn Wahyuni yang mendendangkan lagu Nirmala

Persembahan kategori berkumpulan atau 'live band'

Persembahan nyanyian solo dan berkumpulan (akustik)

Persembahan nyanyian duet
Persembahan nyanyian duet

Tetamu Undangan... Dari kiri; En. Mat Kamal b. Abd. Majid, KJ HEP; Tn. Hj. Mat Akhir b. Hj. Abdullah, Timbalan Pengarah; dan Tn. Hj. Olen b. Tabor, Ketua Warden Unit Kediaman

Pasangan Pengacara... Saudara Zachery Enjat dan Saudari Erma Sharmila, pengacara pada Malam 'Talent Time'.

Sebagai Tanda Penghargaan... Penyampaian cenderahati kepada para juri yang disempurnakan oleh Tuan Timbalan Pengarah, Tn. Hj. Mat Akhir b. Hj. Abdullah.

Barisan Hakim... Dari kiri; Pn Florina Sigay, En. Sagim Suar (Ketua Juri) dan Pn. Ling Ching Rou

Sempena Karnival Kediaman Pelajar, Unit Kediaman HEP IPGM Kampus Rajang dengan kerjasama Jawatankuasa Perwakilan Pelajar telah menganjurkan malam “Talent Time yang bertujuan untuk mencungkil bakat para guru pelatih dalam bidang nyayian. Malam “Talent Time” merupakan salah satu aktiviti sempena Karnival Kediaman Pelajar.


Malam Talent Time telah diadakan pada 23 Oktober 2009. Aktiviti bermula pada pukul 8.00 malam. Malam “Talent Time” telah mendapat penyertaan yang mengalakkan daripada ramai pelajar. Terdapat tiga kategori yang dipertandingkan, iaitu kategori solo yang terbuka kepada pelajar lelaki dan perempuan, kategori duet, dan kategori berkumpulan ataupun ‘live band’.


Penyertaan terbuka kepada semua pelajar IPGM Kampus Rajang. Kategori solo telah mendapat 8 penyertaan. Manakala kategori duet pula telah mendapat 5 penyertaan dan liveband atau berkumpulan mendapat 5 penyertaan. Aktiviti yang julung-julung kali diadakan ini telah mendapat sokongan yang amat mengalakkan daripada seluruh warga kampus.


Pada malam tersebut, Tuan Timbalan Pengarah telah dijemput untuk memeriahkan Malam Talent Time”. Kehadiran Tuan Timbalan Pengarah serta KJ HEP telah menyemarakkan lagi Malam 'Talent Time'. Saudara Zachary dan Saudari Erma Syarmila telah mempengerusikan Malam “Talent Time” dengan jayanya.


Pertandingan tersebut telah berjalan dengan lancar. Malam “Talent Time” telah dihadiri oleh seluruh warga kampus. Untuk menghakimi pertandingan, pihak penganjur telah menjemput pensyarah yang berpengetahuan luas dalam bidang muzik. En Sagim Suar telah dijemput untuk menjadi ketua hakim disamping Puan Ling Ching Rou dan Puan Florina Sigay. Di akhir pertandingan penganjur telah menjemput Puan Florina sebagai penyanyi jemputan sementara menunggu keputusan pertandingan di umumkan.


Pengerusi majlis telah mengumumkan keputusan pertandingan pada malam tersebut. Untuk kategori solo, tempat pertama dimenangi oleh Saudari Marwyn Wahyuni yang mendendangkan lagu Nirmala, Tempat Kedua jatuh kepada Saudara Frederick dengan lagu Perpisahan dan Tempat Ketiga Saudara Mohd Shahrizan dengan lagunya Retorik Cinta.


Untuk kategori duet pula, johan telah disandang oleh Saudara Chance dan Frederick yang mendendangkan lagu Nyabak Sebulan, tempat kedua Kumpulan Significant dengan lagunya Heaven, dan tempat ketiga Kumpulan Double A dengan lagunya Kehebatan Cinta.


Kemuncak pertandingan adalah untuk kategori Berkumpulan dan Live Band. Tempat pertama dimenangi oleh Live Band yang mengelarkan diri mereka sebagai The Night Strangers yang membawa lagu medley Cinta Dalam Hati dan Bila Rasa Ini Rasaku. Untuk tempat kedua telah jatuh kepada persembahan akustik iaitu Kumpulan Inveders dengan Medley PSV. Manakala tempat ketiga telah disandang oleh Kumpulan The Fives Signs dengan lagunya, Lagu Untukmu.


Malam “Talent Time berakhir sebaik sahaja keputusan di umumkan. Hadiah pertandingan hanya akan diserahkan bila berakhirnya Karnival Kediaman Pelajar. Di harap pertandingan seperti ini akan di adakan pada tahun-tahun akan datang kerana pertandingan seperti ini dapat mengeratkan silaturrahim di antara warga kampus di samping dapat mengasah bakat -bakat terpendam para pelajar.


Laporan Oleh; Nur Asmah Bt. Ishak, Ketua JK Pengelola 'Talent Time Nite'

Rabu, Oktober 28, 2009

Selamat Menduduki Peperiksaan


Jawatankuasa Perwakilan Pelajar IPGM Kampus Rajang Sesi 2009/2010 ingin mengucapkan selamat menduduki peperiksaan kepada semua pelajar KPLI Ambilan Januari 2009, PISMK-OUM, PISMP dan PPISMP. Buat semua rakan guru pelatih yang bakal menduduki ujian yang akan bermula pada 3 November sehingga 19 November 2009, muatkanlah minda kita dengan bekalan ilmu yang secukupnya untuk bertempur di medan peperiksaan yang bakal menjelma. Semoga kita semua akan dapat mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.

Selamat maju jaya.

“Ke Arah Kepimpinan Yang Unggul Dan Cemerlang”

Selasa, Oktober 27, 2009

Perhimpunan Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 Peringkat IPGM Kampus Rajang

TARIKH : 21 Oktober 2009
MASA : 7.30 pagi
TEMPAT : Dewan Sri Rajang

Ucaptama Majlis... En. Nicholas Ugul, Pengarah IPGM Kampus Rajang menyampaikan ucapan beliau semasa Perhimpunan Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 Peringkat IPGM Kampus Rajang

Ucapan Penganjur... Ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Tuan Haji Kamarul Ariffin Bin Din, KJ Pengajian Melayu IPGM Kampus Rajang

Warisan... Para pelajar mempersembahkan persembahan nyanyian medley lagu-lagu rakyat.

Pada hari Rabu, 21 Oktober yang lalu bertempat di Dewan Sri Rajang, satu perhimpunan khas sempena Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat IPGM Kampus Rajang telah diadakan. Perhimpunan tersebut telah dihadiri oleh Pengarah IPGM Kampus Rajang beserta Timbalan beliau serta para pensyarah dari setiap jabatan dan semua guru pelatih.

Majlis bermula pada jam 7.30 pagi dan para pensyarah dan guru-guru pelatih mengambil tempat duduk. Majlis kemudiannya dihadiri serta dirasmikan oleh Yang Berbahagia Pengarah IPGM Kampus Rajang, Encik Nicholas Ugul diiringi oleh Yang Berusaha Timbalan Pengarah Tn Hj Mat Akhir bin Hj Abdullah yang merupakan timbalan pengarah baru IPGM Kampus Rajang. Turut mengiringi mereka ialah Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Encik Mat Kamal bin Majid dan Ketua Jabatan Pengajian Melayu, Tuan Haji Kamarul Ariffin bin Din.

Majlis dimulakan dengan Nyanyian lagu “ Negaraku” oleh para hadirin dan disusuli pula dengan bacaan doa bagi memberkati majlis. Kemudiannya pula Ucapan alu-aluan disampaikan oleh Tuan Haji Kamarul Ariffin Bin Din selaku pengerusi majlis tersebut. Selesai ucapan beliau, Yang Berbahagia Pengarah IPGM Kampus Rajang, Encik Nicholas Ugul pula berucap sekaligus merasmikan penutupan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat IPGM Kampus Rajang.

Seterusnya para hadirin diminta berdiri bagi menyanyikan lagu “Bahasa Jiwa Bangsa” dan “Budi Bahasa Budaya Kita” beramai-ramai. Majlis juga turut dimeriahkan dengan persembahan deklamasi sajak dan nyanyian lagu-lagu rakyat oleh guru-guru pelatih PISMP dan PPISMP.

Selesai persembahan tersebut, majlis penyampaian hadiah juga diadakan bagi menyampaikan hadiah dan saguhati kepada para pemenang bagi pertandingan-pertandingan yang telah diadakan sepanjang bulan bahasa iaitu pertandingan menulis Cerpen Remaja, pertandingan mendeklamasi puisi, pidato dan penyampaian saguhati kepada peserta-peserta debat ala parlimen. Para peserta juga terdiri daripada guru-guru pelatih PISMP dan PPISMP Ambilan 2007-2009.

Majlis kemudiannya berakhir kira-kira jam 9.00 pagi dan para hadirin bersama-sama menyanyikan lagu “Sarawak Ibu Pertiwiku” dan “Rajang Berbakti”. Majlis bersurai.


Laporan Oleh ; S/U PISMP BM Sem 6

Isnin, Oktober 26, 2009

Selamat Bertandang dan Selamat Bertugas di IPGM Kampus Rajang


Kami, seluruh Warga IPGM Kampus Rajang ingin mengalu-alukan kedatangan Tuan Timbalan Pengarah IPGM Kampus Rajang yang baru iaitu Tuan Haji Mat Akhir Bin Haji Abdullah ke kampus hijau kami... Selamat bertugas...

Selayang Pandang... Sepanjang Jalan Kenangan En. Mohamed Rahmat di IPGM Kampus Rajang

Teks Ucapan YDP JPP Sempena Perpindahan Timbalan Pengarah IPGM Kampus Rajang


Yang Berbahagia, En. Nicholas Ugul, Pengarah IPGM Kampus Rajang, Yang Dihormati, En. Mohamed Rahmat B. Md Yasin, Timbalan Pengarah IPGM Kampus Rajang, Yang Berusaha, En. Mat Kamal b. Abdul Majid, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Ketua-Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Unit serta rakan pelajar yang saya hormati sekalian.


Selamat pagi, Salam sejahtera dan Salam 1Malaysia;


Terlebih dahulu, bersyukur kita ke hadrat Tuhan kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama berkumpul di Dewan Sri Rajang ini di dalam majlis Perhimpunan Khas sempena perpindahan Timbalan Pengarah kita pada pagi ini.


Justeru, saya mewakili semua pelajar ingin merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan, khusus kepada Tuan Timbalan Pengarah, En. Mohamed Rahmat b. Mat Yasin yang akan berpindah dalam beberapa hari lagi diatas jasa dan khidmat bakti yang dicurahkan sepanjang beliau berada di IPGM Kampus Rajang ini. Sesungguhnya beliau telah berkhidmat di sini sejak dari tahun 2004 lagi.


Tentu sekali di dalam perkhidmatan beliau yang begitu panjang, ada jasa-jasa besar yang telah dicurahkan yang menjadi tinta emas di dalam sejarah perkembangan dan pembangunan IPGM Kampus Rajang, khasnya dalam memartabatkan profesion keguruan.


Sesungguhnya beliau turut bersama-sama berganding bahu, menggembleng tenaga serta mencanang idea di dalam merealisasikan Visi IPGM Kampus Rajang iaitu untuk menjadikan IPGM Kampus Rajang sebagai Pusat Pendidikan Guru Yang Berkualiti Untuk Memenuhi Aspirasi Negara Malaysia selain untuk mencapai misi kampus, iaitu untuk Melaksanakan Pendidikan Keguruan Bagi Melahirkan Guru Yang Berketerampilan Untuk Memenuhi Aspirasi Kementerian Pelajaran Malaysia.


Sebagai pelajar IPGM Kampus Rajang dan juga secara peribadi, saya merasa amat bertuah dan berbangga kerana beliau telah menjalankan tugas dengan amanah dan penuh dedikasi sepanjang beliau berkhidmat di sini selain mempunyai perwatakan yang mesra dan prihatin terhadap anak-anak didiknya. Sepanjang beliau berkhidmat di sini, hasil gandingan mantap beliau bersama dengan Tuan Pengarah yang amat berdedikasi dan disegani iaitu, En. Nicholas Ugul, IPGM Kampus Rajang telah mencipta pelbagai kecemerlangan, juga telah berjaya merealisasikan ciri-ciri keinstitusiannya, terutamanya sebagai ‘pedagogical reference centre’ di kalangan pendidik-pendidik sekitar, pusat rujukan akademik, malah juga telah berjaya membuka ruang dan peranan institut kepada masyarakat luar melalui pelbagai program kemasyarakatan.


Tuan-tuan, Puan-puan, saudara-saudari sekalian,


Akhir kata, saya bagi pihak seluruh pelajar IPGM Kampus Rajang ingin memohon seribu kemaafan di atas segala ketelanjuran kami. “Gading mana yang tidak retak, bumi mana yang tidak ditimpa hujan.” Sebelum mengakhiri ucapan saya, izinkan saya untuk menghadiahkan 2 rangkap pantun yang ditujukan khas kepada Tuan Timbalan Pengarah kita.


“Di sana padi di sini padi,

Itulah nama sawah dan bendang,

Disana budi disini budi,

Baru sempurna bernama orang”


“Kalau ada pauh di daik,

Bawa sebiji ke tanah seberang,

Kalau ada budi yang baik,

Sampai mati dikenang orang”


Selamat maju jaya. Jagalah kesihatan dan semoga berbahagia selalu. Sekian, Terima kasih.