Aktiviti Akan Datang...

1. Perhimpunan Bulanan 1/2010 (6 Januari 2010) -telah dilaksanakan
2. Slot Pengisian Bersama KJ HEP (13 Januari 2010) -telah dilaksanakan
3. Pertandingan Bola Tampar Piala Pusingan Pengarah (12-14 Januari 2010) -telah dilaksanakan
4. Pendaftaran Pelajar Baharu KPLI Ambilan Januari 2010 (18 Januari 2010) -telah dilaksanakan
5. Majlis Perasmian MPPB KPLI Januari 2010 (18-22 Januari 2010)
6. Malam Kebudayaan MPPB KPLI Januari 2010 (20 Januari 2010) -telah dilaksanakan
7. Majlis Penutupan MPPB KPLI Januari 2010 (22 Januari 2010) -telah dilaksanakan
8. Slot Pengisian Bersama Jabatan PJK (27 Januari 2010)

Isnin, Februari 08, 2010

Happy Chinese New Year 2010 : Year Of Tiger


Istimewa buat seluruh warga IPG Kampus Rajang yang berbangsa Cina,

Selamat Menyambut Tahun Baru Cina 2010. Semoga kedatangan Tahun Harimau ini akan menguatkan lagi azam semua pihak untuk berusaha ke arah kecemerlangan dan membawa tuah, murah rezeki dan kemakmuran kepada semua..

GONG XI FA CAI!


Ikhlas daripada :
JPP IPGM Kampus Rajang
Sesi 2009/2010

Sabtu, Februari 06, 2010

100 Hari Pertama : Suara Rasa Timbalan Pengarah IPG Kampus Rajang


NAMA PENUH : TUAN HJ MAT AKHIR BIN HJ ABDULLAH
TARIKH LAHIR : 4 MAC 1955
TEMPAT LAHIR : KUALA KANGSAR, PERAK
JUMLAH ADIK BERADIK : 4 ORANG ( Merupakan anak bongsu)
TARAF PENDIDIKAN : MASTER DALAM PENGURUSAN TEKNOLOGI
UTM SKUDAI, JOHOR

Assalamualaikom warohmatullah hiwabarokatuh dan salam sejahtera.


Y.Bhg. Tuan Pengarah, Ketua Jabatan, Ketua Unit, para pensyarah, staf sokongan dan para pelajar yang dikasihi sekalian.


Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah subhanahuwataalla dengan limpah kurnia-Nya dapat saya menggerakkan jari jemari saya untuk menukilkan sesuatu untuk catatan dan renungan diri saya sendiri dan barangkali untuk tatapan sejenak warga Kampus Rajang, Bumi Kenyalang yang saya sayangi. Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.

Dengan izin Tuan Pengarah jua saya memohon kebenaran dan ampun maaf sekiranya catatan 100 hari ini tidak menepati hasrat dan sasaran visi dan misi Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang yang aman dan damai. Sesungguhnya setiap insan diberi kekuatan oleh Tuhan untuk bergerak di atas muka bumi ini untuk merencanakan dan melaksanakan sesuatu yang dapat memberi manfaat atau impak kepada dirinya sendiri dan orang lain. ”Sedikit lama-lama menjadi bukit”. Kata-kata keramat yang perlu difahami dan dihayati.


Pertama kali saya sampai di kampus ini pada 14 Julai 2008, saya berasa kagum dengan ketenangan, keharmonian dan keindahan persekitarannya. Walaupun pada ketika itu saya datang tidak lama kerana ditugaskan oleh BPG untuk memantau hari pendaftaran pelajar baru PPISMP ambilan Julai 2008. Saya sangat teruja untuk datang ke sini. Maklumlah ramai yang menguar-uarkan kehebatan kampus ini dari segi keindahan, kebersihan dan keceriaan. Sesungguhnya kekaguman ini menjadi tanda tanya dalam diri saya. Mengapakah institut ini indah, bersih dan ceria begitu rupa? Siapakah tuan rumahnya? Pasti tuan rumah institut ini mempunyai hasrat, impian dan wawasan untuk menjadikan institut ini indah, bersih dan ceria. Bagaikan gadis sunti yang disolek dengan anggunnya. Saya tertanya-tanya. Mengapa institut yang indah ini dibina di kawasan luar bandar. Bagaikan ’dara pingitan’ yang tidak pernah keluar dari terataknya. Terlalu anggun dan sopan budi bahasanya. Begitulah kiasan kata yang dapat saya simpulkan semasa kehadiran saya pada ketika itu. Alangkah indahnya jikalau institut ini dibina di Sibu (bukan di tengah bandar Sibu). Barangkali ramai yang dapat melihat, merasai keindahan, ketenangan dan kehebatan institut ini. Tetapi tiada siapa yang mengetahui apa yang tersurat dan tersirat. Tak mengapalah. Semuanya sudah menjadi suratan takdir dan sejarah masa silam.


Saya tidak menyangka bahawa kehadiran saya pada 14 Julai 2008 itu membawa pertemuan kali kedua pada 1 Oktober 2009 (melapor diri). Pertemuan untuk mengikat janji dengan tuan rumah (pengarah). Umpama pertemuan antara ”Uda dan Dara”. Barangkali untuk mengucapkan sesuatu yang manis dan lunak di sanubari masing masing. Apakah hikmah pertemuan ini?


Saya tertanya-tanya dalam diri. Mengapa saya memilih Rajang, tidak memilih Tawau atau Keningau atau Kota Kinabalu semasa ditawarkan menjadi orang nombor dua dahulu. Tiba-tiba ditawarkan ke Kampus Rajang....hati saya terus tertawan.


Kehadiran saya pada 1 Oktober 2009, memberi azam baru kepada saya untuk berkhidmat dengan penuh yakin dan bertanggungjawab. Membantu sedaya upaya dan melakukan yang terbaik demi kampus ini. Alhamdulillah pada 19 Oktober 2009 saya mula menjalankan tugas sebagai orang nombor dua. Saya rasa bersyukur ke hadrat Allah subhanahuwataala kerana mempunyai ketua (pengarah) yang mempunyai pengalaman yang sangat luas dan mahir dalam selok belok tadbir urus yang hebat. Berpandangan jauh dan mempunyai visi dan misi bagi membangun kampus ini menjadi tersohor dari pelbagai aspek termasuk pengurusan kewangan, kebersihan dan keceriaan, dan sistem fail yang mantap. Kehebatan inilah yang saya ingin cari dalam diri saya. Sentiasa ingin mencari perubahan diri dan kebitaraan diri berbeza dengan orang lain. Sesungguhnya saya mengharapkan kita semua sebagai warga kampus sentiasa mencari sesuatu idea yang dapat melestari dan membitarakan kampus ini. Justeru itu, saya amat berharap para pensyarah dan pelajar sentiasa berfikir dan memikirkan apakah agenda baru yang dapat sama-sama kita garap bagi kelestarian dan kebitaraan kampus ini? Berfikirlah. Bagi umat Islam: ”Sesungguhnya berfikir sesaat itu, amat besar pahalanya umpama mengerjakan solat sunat.” Berfikir juga satu ibadah.


Maka ”marilah” kita sama-sama berfikir, menghayati, menterjemah dan mengamalkan visi dan misi Institut Pendidikan Guru, Kampus Rajang, dan Falsafah Pendidikan Guru terlebih dahulu supaya kita tidak tersasar dari hala tuju yang sebenar. Begitu juga para pensyarah dan pelajar perlu membaca, memahami dan menghayati isi kandungan ’Standard Guru Malaysia’ dan ’Budaya IPG’. Seterusnya kita perlu mengorak langkah (menggarap strategi) dan memfokus hala tuju yang sebenar bagi ”membina kekuatan, pengiktirafan dan kecemerlangan” Kampus Rajang supaya menjadi tersohor di mata masyarakat dan negara. Bagi saya kekuatan perlu dibina melalui penyataan hasrat yang didokumenkan, fikiran yang terbuka, bercita-cita dan mempunyai keazaman yang tinggi, semangat kerjasama yang jitu dan padu (tidak berbelah bahagi) dalam kalangan warga Kampus Rajang. Itulah ramuan kekuatan bagi menggerakkan agenda bagi melestarikan kampus ini. ’Muafakat membawa berkat’. Kekuatan itu perlu disalurkan melalui pemikiran dan falsafah warga kampus untuk mencari kesepakatan ke arah membina kekuatan. Sehubungan dengan itu, satu gagasan bagi menyemai dan menyemarakkan kehebatan insan itu adalah melalui berfikir. Tanpa berfikir dan adanya pemikiran baru, sukar bagi kita mencapai apa yang dicita-citakan. Para pensyarah hari ini digalakkan meneroka pemikiran baru dan menggalakkan para pelajarnya sentiasa berfikir mencari ’idealisme’ dalam diri mereka sebagai pelajar yang berwatak dan mempunyai idealisme tersendiri.

Hasrat saya, bagi membina kekuatan, pengiktirafan dan kecemerlangan di kampus ini, beberapa kriteria perlu menjadi petunjuk utama iaitu menjadi pensyarah yang cemerlang perlu dilihat dan dinilai melalui P & P, penulisan, penerbitan, penyelidikan dan inovasi, dan konsultansi. Semua gerak kerja bagi elemen tersebut boleh dibuat secara kolaborasi atau berpasukan. Sebagai contoh, semua jabatan boleh menghasilkan buku/jurnal pendidikan bagi jabatan masing-masing secara kolektif. Barangkali buku yang dihasilkan boleh dijual dan ini merupakan janaan pendapatan jabatan berkenaan. Saya percaya dan penuh yakin, para pensyarah di kampus ini mempunyai kehebatan yang tersendiri dan jika ada penggerak dan penggemblengnya. Saya yakin! Pensyarah Boleh! Pensyarah Kampus Rajang boleh ’memimpin’ orang lain di luar sana. Buktikan bahawa penulisan pensyarah dalam pelbagai bidang sangat hebat. Sebagai contoh, para pensyarah boleh membuat penyelidikan dan inovasi dalam pelbagai disiplin ilmu. Segala dapatan penyelidikan dan inovasi boleh dibentangkan dalam konvensyen atau seminar peringkat kebangsaan atau antarabangsa. Para pensyarah juga boleh menulis buku secara kolektif mengenai bidang ilmu masing-masing mengikut jabatan yang ada di kampus ini. Jika boleh setiap jabatan menerbitkan satu buku atau jurnal bagi setiap tahun. Carilah senergi baru bagi menggegarkan dunia penulisan, penerbitan, penyelidikan dan inovasi supaya Kampus Rajang dikenali ramai.


Para pensyarah boleh mengemukakan idea ke arah bagaimana membina kekuatan, pengiktirafan dan kecemerlangan kampus ini sejajar dengan memasyarakatkan kampus dan perkongsian pintar. Kita tidak boleh bekerja secara bersendirian. ’Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat’. Di luar sana banyak yang pensyarah boleh teroka. Binalah jaringan keintelektualan dan minda. Binalah jaringan sosial. Binalah jaringan kesarjanaan. Marilah kita bina kekuatan melalui bidang kita dengan P & P yang cemerlang, penulisan dan penerbitan yang hebat. Marilah kita bina budaya penyelidikan dan inovasi yang terbilang. Inovasi yang boleh diguna pakai oleh orang lain. Siapa tahu, sebutir mutiara Rajang wujud di sini. Marilah kita bina kekuatan diri kita sebagai pensyarah pakar, dan menjadi rujukan pelbagai pihak. Ayuh! Marilah!


’Marilah’ kita sama-sama berfikir dan menghayati peranan dan tanggungjawab di muka bumi ini sebagai insan berjiwa besar yang bergelar ”PENSYARAH”, dan kita bangga menjadi guru. Sebagai pensyarah, marilah kita menjadi pensyarah yang hebat dengan keilmuan, pensyarah yang ada ikhsan, pensyarah yang ada sinergi, dan pensyarah yang seronok dengan kerjaya. Jadikanlah ’keseronokan bekerja’ sebagai penggalak atau pemangkin diri untuk ’keseronokan mencipta’ sesuatu yang belum orang lain lakukan demi kerjaya kita, walaupun sumbangan itu dianggap kecil pada pandangan orang lain. Memanglah sukar untuk kita ’transform’ diri kita untuk menjadi hebat kerana ’transformasi’ itu merupakan satu proses yang adakalanya lambat berlaku dalam diri kita. Apa yang penting kita perlu berubah.


Kita sebagai pensyarah perlu menjadi ’starter’ dalam kelompok pensyarah. Bukan menjadi ’non-starter’ atau ’killer statement’. ’Starter’ bermakna yang menjadi penggerak atau menghidupkan. ’Non-starter’ bermakna bukan penggerak. ’Killer statement’ bermakna sentiasa menyanggah dan membangkang pendapat atau usaha yang dilakukan oleh orang lain. Harapan saya, buang sikap ’non-starter’ dan ’killer statement’ itu jauh-jauh dari benak hati kita. Maka, dalam kalangan para pensyarah perlu ramai yang menjadi golongan ’starter’ supaya kampus ini sentiasa bergerak dan digerakkan untuk mencapai matlamat yang hendak dicapai.


’Marilah’ kita menjadi ’role model’ kepada anak-anak didik kita sama ada dari segi pemikiran, penampilan diri, falsafah atau idealisme diri kita sebagai pensyarah sejati. Janganlah segan-segan membawa buku-buku rujukan yang dibeli atau dipinjam dari pusat sumber ke bilik kuliah supaya pelajar tahu para pensyarahnya rajin membaca. Apakah sumbangan kita untuk melahirkan pelajar menjadi generasi cemerlang berminda kelas pertama, apabila mereka keluar dari kampus ini sebagai guru permulaan? Saya amat berharap para pelajar mempunyai keperibadian tinggi dan kompeten dengan profesion, lahir daripada asuhan dan didikan para pensyarah kampus yang lestari ini. Biarpun kampus ini kecil tapi jiwa warganya sentiasa besar. Itu harapan saya. Begitu juga, berilah harapan baru kepada para pelajar kita. Semoga sekolah yang menerima mereka kelak, nampak impaknya dan terjahan pemikirannya berbekas, kesan daripada ’MEMBINA KEKUATAN, PENGIKTIRAFAN DAN KECEMERLANGAN’ kampus yang tercinta.


Anak-anak Rajang tercinta. Saya melihat anak-anak mempunyai potensi menjadi guru yang cemerlang pada suatu masa nanti. Anak-anak yang terpilih menjadi guru, sekiranya dari semalam, hari ini dan esok sentiasa mengorak langkah untuk menjadi cemerlang. Maka cemerlanglah anda. Percayalah dengan keyakinan diri. Jangan jemu menjadi cemerlang. Anda tidak akan mati di atas timbunan buku dan ’kerja kursus’ yang menunggu. Budayakan diri anda sebagai pelajar yang berdisiplin, menepati waktu dan ’komited’ sebagaimana ’Pernyataan Hasrat’ yang anak-anak tulis semasa menghadiri temu duga dahulu. Ingat! Jangan bohong dan mengkianati diri anda untuk menjadi guru. Rahsia cemerlang berguru ialah mendampingi ’Tok Guru’ bukan membenci dan menjauhi ’Tok Guru’. Sebagai pelajar perlu memahami dan menghayati visi dan misi IPG Kampus Rajang supaya mudah mengikut arah tuju yang hendak dibawa oleh nahkoda guru (pengarah). Jadilah pelajar yang mempunyai idealisme tersendiri yang mendokong cita-cita bangsa dan negara. Di kampus inilah anda merencana untuk menjadi akitek pendidikan negara pada suatu hari nanti. Siapa tahu sebutir mutiara akan lahir dari Kampus Rajang. Berjinak-jinaklah dengan buku. Berjinak-jinaklah dengan pemimpin. Antara buku dan pemimpin itu amat signifikan kerana anda akan menjadi pendidik dan pemimpin yang berwibawa. Mana tahu, satu hari nanti akan lahir ramai tokoh, pemimpin terkemuka dan profesional Kampus Rajang yang akan menjadi inspirasi para pelajar di sini. Renung-Renungkanlah! Fikir-Fikirkanlah!


Para pelajar Kampus Rajang yang disayangi. Jadilah pelajar yang berani bersuara dengan pemikiran dan idealisme baru bagi ’MEMBINA KEKUATAN, PENGIKTIRAFAN DAN KECEMERLANGAN’ kampus yang tercinta ini. Anda perlu membina pemikiran baru dengan sentiasa mencari idea baru bagi menyokong visi dan misi kampus ini. Manfaatkan ruang dan peluang yang ada, selama anda berada di kampus ini. Berilah sumbangan sama ada dari segi spiritual, fizikal dan material. Matangkan usia minda anda melepasi tiga kali ganda kematangan usia fizikal anda. Sesungguhnya kecemerlangan kampus ini bukan terletak pada pihak pentadbir atau para pensyarah saja tetapi anda juga. Jadilah insan guru modal kelas pertama iaitu kumpulan pemikir (creative class), pemimpin berwawasan, intelektual dan komited, berkeyakinan, berani mengambil risiko, ‘rasa bangga, ghairah mencipta, dan rasa sepunya’. Para pelajar mesti mempunyai personaliti unggul (the towering personality) iaitu berkemahiran berfikir peringkat tinggi, berbakat, berkebolehan dan berdaya cipta, mempunyai mobiliti, daya suai dan daya tahan yang tinggi, berkemampuan menggunakan teknologi secara optimum, berupaya menggabungkan inovasi dan daya cipta secara berkesan, berupaya mencipta, menyesuai dan menyebar pengetahuan baru, berkebolehan menjana ilmu pengetahuan, berkelayakan akademik, profesional dan teknikal yang tinggi, mempunyai kepelbagaian kemahiran, mengamal nilai dan etika kerja positif.


Satu perkara lagi perlu kita fikirkankan ialah mencari semula semua khazanah berharga milik warga Kampus Rajang pada masa silam yang perlu dipamerkan semula semasa kampus ini menyambut Jubli Emas (Menyambut Ulang Tahun Ke-50 tahun). Sesungguhnya Jawatankuasa Citra Lestari Kampus Rajang perlu mengorak langkah ke hadapan dari sekarang bagi mencari, mengumpul, merekod dan mendokumentasikan khazanah tersebut sebagai tatapan masyarakat pada masa akan datang. Sebuah buku sejarah Kampus Rajang perlu ditulis sebagai satu catatan sejarah dari tahun penubuhannya pada tahun 1966 hingga 2016. Inilah Balasungkawa Kampus Rajang. Barangkali balasungkawa ini kita namakan ’Citra Lestari Kampus Rajang’ sebagai cenderamata kenang-kenangan 50 tahun usia kampus ini. Fikirkanlah.


Akhir sekali saya mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada Tuan Pengarah yang saya kagumi, Ketua Jabatan dan Ketua Unit yang dedikasi, para pensyarah, staf sokongan dan para pelajar yang sentiasa menjadi inspirasi saya di sini. Sepuluh jari memohon maaf sekiranya dalam coretan 100 Hari Pertama : Suara Rasa, terdapat ungkapan kata yang menyinggung perasaan mana-mana pihak. Tujuan saya menulis ini adalah untuk renungan atau muhasabah diri saya sendiri dan warga kampus yang saya hormati. Untaian pantun jua saya titipkan buat kenangan semua.

Pohon jati tinggi menjulang,
Tumbuh subur dahannya rendang,

Kampus indah warga cemerlang;

Namamu tersohor Kampus Rajang.


Bunga anggerik bunga hiasan,

Cantik terhias di hujung taman,

Citra lestari satu gagasan,

Membina kekuatan sepanjang zaman.


Yang baik itu semuanya daripada Allah dan yang buruk itu adalah atas kelemahan saya sendiri.

Wabillahhitaufik Walhidayah Wassalamualaikom Warroh Matullahhiwabarokatuh.

Sekian. Terima kasih.