Gambar Bawah ; Untuk Album 2009.. Barisan staf akademik IPGM Kampus Rajang bergambar bersama-sama dengan Tuan Pengarah dan Timbalan Pengarah.

Bintangor, 24 Julai 2009. Masih belum terlewat untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik kerana yang pasti setiap hari adalah hari guru. Satu majlis untuk meraikan hari guru telah diadakan di IPGM Kampus Rajang pada 24 Julai 2009 (Jumaat). Bahang kemeriahannya amat terasa sekali apabila sambutan hari guru tahun ini turut disambut secara serentak dengan pelancaran Bulan Kemerdekaan dan pelancaran Bulan Bahasa peringkat IPGM Kampus Rajang. Sambutan Hari Guru dan pelancaran Bulan Kemerdekaan serta Bulan Bahasa peringkat IPGM Kampus Rajang 2009 telah disempurnakan oleh Encik Nicholas Ugul, Pengarah IPGM Kampus Rajang.
Dalam majlis tersebut perutusan dari Pengarah BPG dibaca dan dihayati dengan penuh minat oleh setiap warga IPGM Kampus Rajang sebagai panduan kepada generasi pendidik. Lagu Guru Malaysia, Sejahtera Malaysia dan Budaya Membaca dialunkan dengan penuh semangat oleh setiap warga yang hadir yang datang dari segenap pelusuk negeri di Malaysia sebagai simbolik kepada sambutan serentak Hari Guru serta Pelancaran Bulan Kemerdekaan dan Bulan Bahasa 2009. Selain itu, Ikrar Guru turut dilafazkani demi meneruskan usaha murni untuk berbakti kepada ibu pertiwi.
Dalam majlis yang sama, Pengarah IPGM Kampus Rajang, YBhg En. Nicholas Ugul telah menegaskan bahawa pembangunan modal insan yang teratur dan tersusun memerlukan insan guru yang mengamalkan nilai profesionalisme yang tinggi. Komitmen ini telah digariskan di dalam PIPP iaitu memartabatkan profesion keguruan. Komitmen ini hendaklah diterjemahkan oleh pihak guru melalui tindakan mereka di sekolah. Justeru, pihak guru perlu menggunakan masa mengajar yang diperuntukkan dengan sebaik-baiknya menerusi perancangan dan perlaksanaan yang sempurna. Mengakhiri ucapannya, beliau menaruh harapan yang besar kepada bakal-bakal guru baharu agar dapat bersikap lebih positif dalam tugas mereka di sekolah kelak dan sentiasa bersedia untuk menjalankan tugas dengan cemerlang serta menjayakan agenda-agenda besar negara.
Majlis juga telah diserikan dengan persembahan pentomin dari pelajar yang mengisahkan sanjungan yang diberi terhadap jasa guru diikuti dengan majlis penyampaian cenderamata kepada semua pensyarah daripada barisan guru pelatih.
Sejurus selesai sahaja majlis sambutan dan pelancaran, karnival sukaneka telah dijalankan di mana acara-acara seperti tarik tali, bowling padang (menggunakan buah kelapa), ikat kaki, tiup belon dan juga berjalan menggunakan batu-bata turut dipertandingkan. Acara-acara ini telah disertai oleh para pelajar, staf-staf sokongan dan juga staf-staf akademik. Pada sebelah petangnya pula, sambutan hari guru turut dimeriahkan lagi dengan Karnival Sukan yang disertai oleh pensyarah, guru pelatih dan staf sokongan. Antara acara-acara sukan yang dipertandingkan termasuklah futsal, bola tampar dan juga bola jaring. Acara kemuncak sambutan hari guru IPGM Kampus Rajang turut diserikan lagi dengan pertandingan akhir tarik tali yang menemukan pasukan Staf menentang pasukan PISMP PJ di mana keputusannya ialah pasukan PISMP PJ telah berjaya menumbangkan pasukan Staf. Selesai sahaja pertandingan akhir tarik tali, upacara penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YBhg En. Mohamed Rahmat b Md Yasin, Timbalan Pengarah IPGM Kampus Rajang bertempat di Astaka IPGM Kampus Rajang. Jamuan juga turut disediakan kepada semua staf dan pelajar di PULAKO sejurus selesainya upacara penyampaian hadiah kepada para pemenang sukaneka dan karnival sukan.
-Guru Pembina Negara Bangsa-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima Kasih atas perhatian dan komen membina anda.