


Sempena Karnival Kediaman Pelajar, Unit Kediaman HEP IPGM Kampus Rajang dengan kerjasama Jawatankuasa Perwakilan Pelajar telah menganjurkan malam “Talent Time” yang bertujuan untuk mencungkil bakat para guru pelatih dalam bidang nyayian. Malam “Talent Time” merupakan salah satu aktiviti sempena Karnival Kediaman Pelajar.
Malam “Talent Time” telah diadakan pada 23 Oktober 2009. Aktiviti bermula pada pukul 8.00 malam. Malam “Talent Time” telah mendapat penyertaan yang mengalakkan daripada ramai pelajar. Terdapat tiga kategori yang dipertandingkan, iaitu kategori solo yang terbuka kepada pelajar lelaki dan perempuan, kategori duet, dan kategori berkumpulan ataupun ‘live band’.
Penyertaan terbuka kepada semua pelajar IPGM Kampus Rajang. Kategori solo telah mendapat 8 penyertaan. Manakala kategori duet pula telah mendapat 5 penyertaan dan liveband atau berkumpulan mendapat 5 penyertaan. Aktiviti yang julung-julung kali diadakan ini telah mendapat sokongan yang amat mengalakkan daripada seluruh warga kampus.
Pada malam tersebut, Tuan Timbalan Pengarah telah dijemput untuk memeriahkan Malam “Talent Time”. Kehadiran Tuan Timbalan Pengarah serta KJ HEP telah menyemarakkan lagi Malam 'Talent Time'. Saudara Zachary dan Saudari Erma Syarmila telah mempengerusikan Malam “Talent Time” dengan jayanya.
Pertandingan tersebut telah berjalan dengan lancar. Malam “Talent Time” telah dihadiri oleh seluruh warga kampus. Untuk menghakimi pertandingan, pihak penganjur telah menjemput pensyarah yang berpengetahuan luas dalam bidang muzik. En Sagim Suar telah dijemput untuk menjadi ketua hakim disamping Puan Ling Ching Rou dan Puan Florina Sigay. Di akhir pertandingan penganjur telah menjemput Puan Florina sebagai penyanyi jemputan sementara menunggu keputusan pertandingan di umumkan.
Pengerusi majlis telah mengumumkan keputusan pertandingan pada malam tersebut. Untuk kategori solo, tempat pertama dimenangi oleh Saudari Marwyn Wahyuni yang mendendangkan lagu Nirmala, Tempat Kedua jatuh kepada Saudara Frederick dengan lagu Perpisahan dan Tempat Ketiga Saudara Mohd Shahrizan dengan lagunya Retorik Cinta.
Untuk kategori duet pula, johan telah disandang oleh Saudara Chance dan Frederick yang mendendangkan lagu Nyabak Sebulan, tempat kedua Kumpulan Significant dengan lagunya Heaven, dan tempat ketiga Kumpulan Double A dengan lagunya Kehebatan Cinta.
Kemuncak pertandingan adalah untuk kategori Berkumpulan dan Live Band. Tempat pertama dimenangi oleh Live Band yang mengelarkan diri mereka sebagai The Night Strangers yang membawa lagu medley Cinta Dalam Hati dan Bila Rasa Ini Rasaku. Untuk tempat kedua telah jatuh kepada persembahan akustik iaitu Kumpulan Inveders dengan Medley PSV. Manakala tempat ketiga telah disandang oleh Kumpulan The Fives Signs dengan lagunya, Lagu Untukmu.
Malam “Talent Time” berakhir sebaik sahaja keputusan di umumkan. Hadiah pertandingan hanya akan diserahkan bila berakhirnya Karnival Kediaman Pelajar. Di harap pertandingan seperti ini akan di adakan pada tahun-tahun akan datang kerana pertandingan seperti ini dapat mengeratkan silaturrahim di antara warga kampus di samping dapat mengasah bakat -bakat terpendam para pelajar.
Laporan Oleh; Nur Asmah Bt. Ishak, Ketua JK Pengelola 'Talent Time Nite'
Jawatankuasa Perwakilan Pelajar IPGM Kampus Rajang Sesi 2009/2010 ingin mengucapkan selamat menduduki peperiksaan kepada semua pelajar KPLI Ambilan Januari 2009, PISMK-OUM, PISMP dan PPISMP. Buat semua rakan guru pelatih yang bakal menduduki ujian yang akan bermula pada 3 November sehingga 19 November 2009, muatkanlah minda kita dengan bekalan ilmu yang secukupnya untuk bertempur di medan peperiksaan yang bakal menjelma. Semoga kita semua akan dapat mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.
Selamat maju jaya.
“Ke Arah Kepimpinan Yang Unggul Dan Cemerlang”
Pada hari Rabu, 21 Oktober yang lalu bertempat di Dewan Sri Rajang, satu perhimpunan khas sempena Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat IPGM Kampus Rajang telah diadakan. Perhimpunan tersebut telah dihadiri oleh Pengarah IPGM Kampus Rajang beserta Timbalan beliau serta para pensyarah dari setiap jabatan dan semua guru pelatih.
Majlis bermula pada jam 7.30 pagi dan para pensyarah dan guru-guru pelatih mengambil tempat duduk. Majlis kemudiannya dihadiri serta dirasmikan oleh Yang Berbahagia Pengarah IPGM Kampus Rajang, Encik Nicholas Ugul diiringi oleh Yang Berusaha Timbalan Pengarah Tn Hj Mat Akhir bin Hj Abdullah yang merupakan timbalan pengarah baru IPGM Kampus Rajang. Turut mengiringi mereka ialah Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Encik Mat Kamal bin Majid dan Ketua Jabatan Pengajian Melayu, Tuan Haji Kamarul Ariffin bin Din.
Majlis dimulakan dengan Nyanyian lagu “ Negaraku” oleh para hadirin dan disusuli pula dengan bacaan doa bagi memberkati majlis. Kemudiannya pula Ucapan alu-aluan disampaikan oleh Tuan Haji Kamarul Ariffin Bin Din selaku pengerusi majlis tersebut. Selesai ucapan beliau, Yang Berbahagia Pengarah IPGM Kampus Rajang, Encik Nicholas Ugul pula berucap sekaligus merasmikan penutupan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat IPGM Kampus Rajang.
Seterusnya para hadirin diminta berdiri bagi menyanyikan lagu “Bahasa Jiwa Bangsa” dan “Budi Bahasa Budaya Kita” beramai-ramai. Majlis juga turut dimeriahkan dengan persembahan deklamasi sajak dan nyanyian lagu-lagu rakyat oleh guru-guru pelatih PISMP dan PPISMP.
Selesai persembahan tersebut, majlis penyampaian hadiah juga diadakan bagi menyampaikan hadiah dan saguhati kepada para pemenang bagi pertandingan-pertandingan yang telah diadakan sepanjang bulan bahasa iaitu pertandingan menulis Cerpen Remaja, pertandingan mendeklamasi puisi, pidato dan penyampaian saguhati kepada peserta-peserta debat ala parlimen. Para peserta juga terdiri daripada guru-guru pelatih PISMP dan PPISMP Ambilan 2007-2009.
Majlis kemudiannya berakhir kira-kira jam 9.00 pagi dan para hadirin bersama-sama menyanyikan lagu “Sarawak Ibu Pertiwiku” dan “Rajang Berbakti”. Majlis bersurai.
Laporan Oleh ; S/U PISMP BM Sem 6
Yang Berbahagia, En. Nicholas Ugul, Pengarah IPGM Kampus Rajang, Yang Dihormati, En. Mohamed Rahmat B. Md Yasin, Timbalan Pengarah IPGM Kampus Rajang, Yang Berusaha, En. Mat Kamal b. Abdul Majid, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Ketua-Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Unit serta rakan pelajar yang saya hormati sekalian.
Selamat pagi, Salam sejahtera dan Salam 1Malaysia;
Terlebih dahulu, bersyukur kita ke hadrat Tuhan kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama berkumpul di Dewan Sri Rajang ini di dalam majlis Perhimpunan Khas sempena perpindahan Timbalan Pengarah kita pada pagi ini.
Justeru, saya mewakili semua pelajar ingin merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan, khusus kepada Tuan Timbalan Pengarah, En. Mohamed Rahmat b. Mat Yasin yang akan berpindah dalam beberapa hari lagi diatas jasa dan khidmat bakti yang dicurahkan sepanjang beliau berada di IPGM Kampus Rajang ini. Sesungguhnya beliau telah berkhidmat di sini sejak dari tahun 2004 lagi.
Tentu sekali di dalam perkhidmatan beliau yang begitu panjang, ada jasa-jasa besar yang telah dicurahkan yang menjadi tinta emas di dalam sejarah perkembangan dan pembangunan IPGM Kampus Rajang, khasnya dalam memartabatkan profesion keguruan.
Sesungguhnya beliau turut bersama-sama berganding bahu, menggembleng tenaga serta mencanang idea di dalam merealisasikan Visi IPGM Kampus Rajang iaitu untuk menjadikan IPGM Kampus Rajang sebagai Pusat Pendidikan Guru Yang Berkualiti Untuk Memenuhi Aspirasi Negara Malaysia selain untuk mencapai misi kampus, iaitu untuk Melaksanakan Pendidikan Keguruan Bagi Melahirkan Guru Yang Berketerampilan Untuk Memenuhi Aspirasi Kementerian Pelajaran Malaysia.
Sebagai pelajar IPGM Kampus Rajang dan juga secara peribadi, saya merasa amat bertuah dan berbangga kerana beliau telah menjalankan tugas dengan amanah dan penuh dedikasi sepanjang beliau berkhidmat di sini selain mempunyai perwatakan yang mesra dan prihatin terhadap anak-anak didiknya. Sepanjang beliau berkhidmat di sini, hasil gandingan mantap beliau bersama dengan Tuan Pengarah yang amat berdedikasi dan disegani iaitu, En. Nicholas Ugul, IPGM Kampus Rajang telah mencipta pelbagai kecemerlangan, juga telah berjaya merealisasikan ciri-ciri keinstitusiannya, terutamanya sebagai ‘pedagogical reference centre’ di kalangan pendidik-pendidik sekitar, pusat rujukan akademik, malah juga telah berjaya membuka ruang dan peranan institut kepada masyarakat luar melalui pelbagai program kemasyarakatan.
Tuan-tuan, Puan-puan, saudara-saudari sekalian,
Akhir kata, saya bagi pihak seluruh pelajar IPGM Kampus Rajang ingin memohon seribu kemaafan di atas segala ketelanjuran kami. “Gading mana yang tidak retak, bumi mana yang tidak ditimpa hujan.” Sebelum mengakhiri ucapan saya, izinkan saya untuk menghadiahkan 2 rangkap pantun yang ditujukan khas kepada Tuan Timbalan Pengarah kita.
“Di sana padi di sini padi,
Itulah nama sawah dan bendang,
Disana budi disini budi,
Baru sempurna bernama orang”
“Kalau ada pauh di daik,
Bawa sebiji ke tanah seberang,
Kalau ada budi yang baik,
Sampai mati dikenang orang”
Selamat maju jaya. Jagalah kesihatan dan semoga berbahagia selalu. Sekian, Terima kasih.
Kami warga IPGM Kampus Rajang dengan penuh tekad dan iltizam berikrar dan berjanji menumpukan tenaga dan usaha kami untuk:
“We need teachers who can teach...
…who have the knowledge, imagination, skills and dedication to help youngsters grow and develop
…who can inform, challenge and inspire whether they teach in urban or rural settings, the sciences or humanities
…who can stimulate and motivate children to learn throughout life.”
-Tat-